Ia seperti berada dalam fantasi watak-watak tertentu seperti Hello Kitty, The Horbit dan Super Mario itulah yang dapat digambarkan apabila menginap di hotel yang terletak bersebelahan dengan taman tema I-City.

Langkah pertama ketika di lobi utama lagi, ia menyajikan anda dengan satu suasana yang unik, tenang dan mengujakan, itulah tarikan utama kepada hotel butik yang telah membuka tiga cawangan di Shah Alam.

Selepas tujuh tahun dengan dua cawangan, Hotel De Art di Seksyen 7 dan Seksyen 19, akan memberikan pengalaman bermakna anda dan keluarga mengabdikan kenangan dan pengalaman baharu di sini.

Terletak di Jalan Keluli  7/110, Seksyen 7, Hotel De Art I-City memulakan operasinya pada September 2016.

Pengurus Perhubungan Awamnya, Noor Alia Nazlia Iqbal berkata, Hotel De Art I-City masih mengekalkan elemen seni dalam konteks yang berbeza dengan memaparkan tema ‘fantasy wonderland’ atau ‘keajaiban dunia fantasi’.


“Lukisan bertemakan ‘wonderland’ sememangnya boleh dilihat di ruang lobi lagi. Lukisan tangan pelukis mural professional pula dipilih melatari keseluruhan dinding ruang lobi.

“Bar mini yang disuntik konsep industrial juga antara yang menarik perhatian malah ruangini juga sesuai untuk bersantai mahupun sekadar berbual bersama insan tersayang.

“Dengan sofa empuk berona laut bersama kilauan batu permata sebagai pelengkap gaya, ia tambah menarik dengan lakaran yang penuh dengan penceritaan,” katanya.

Suasana bilik berbeza

Sudah menjadi ‘trademark’ Hotel De Art yang menampilkan corak bilik yang berbeza-beza, Hotel De Art I-City juga sememangnya tidak terkecuali.
Namun, berbeza dengan konsep sebelumnya, setiap bilik di sini dilukis pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Univerisiti Selangor (Unisel).

Setiap tingkat diberi nama mengikut jurusan pelajartersebut. Antaranya tingkat 1 yang dipelopori oleh barisan pelajar jurusan Fine Art Uitm Shah Alam, manakala tingkat dua pula dihiasi dengan deretan lukisan hasil karya pelajar jurusan grafik di Unisel Shah Alam.

Jenis bilik

Merangkumi 35 bilik secara keseluruhan, setiap bilik inapan dilengkapi kemudahan asas seperti televisyen berskrin rata, pendingin hawa, bilik air yang lengkap dengan kemudahan tab mandi, rangkaian TV satelit, Wifi dan kemudahan membuat kopi dan teh.

Dengan harga serendah RM108 hingga RM298 semalam, Hotel De Art I-City menawarkan beberapa kategori bilik sebagai pilihan buat pengunjung antaranya Art Queen, Art Twin, Art Queen Deluxe, Art Twin Deluxe, Art King Deluxe dan Art Family.

Pemilihan perabot yang digunakan pula lebih berciri moden dan cukup ringkas. Sesekali konsep industrial digunakan dalam penataan ruang hiasan bilik. Lakaran dinding yang dijadikan titik tumpu seakan bersatu dalam ruang kamar beradu!


Konsep Soho

Art Soho, Art Studio dan Art Suite adalah antara kategori bilik tambahan yang cuma terdapat di Hotel De Art I-City sahaja. Bilik bagi kategori Art Soho dan Art Studio terletak di tingkat bawah di mana setiap bilik dilakar pelukis mural professional.

Konsep ‘naik tangga’ di mana ruang tamu terletak di bawah mana kala kamar beradu di tingkat atas amat sesuai bagi pengunjung yang mencari kelainan.

Samada menginap bersama keluarga mahupun teman, setiap bilik mampu memuatkan dua hingga empat orang.

Lebih bercirikan keluarga dan persahabatan, setiap bilik diadaptasi mengikut tema yang berbeza.
Antaranya bilik Super Mario, filem animasi kanak-kanak yang bertajuk Up, filem anime Jepun iaitu One Piece, The Hobbit, dan Under The Sea.

Lebih istimewa, kelima-lima bilik di tingkat bawah ini dibina menggunakan perabot yang seumpama dengan tema setiap karektor yang diketengahkan.
Noor Alia Nazlia berkata, menariknya, setiap pelanggan diberi peluang untuk memilih sendiri tema yang berkenan di hati. Setiap gambar bilik boleh dilihat menerusi laman web Hotel De Art sendiri.

“Kami menyediakan iPad dengan pilihan gambar bilik juga diletakkan di ruang pendaftaran bagi memudahkan pelanggan yang datang secara walk-in untukmelihat sendiri gambaran sebenar bilik inapan di Hotel De Art I-City.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada ‘1st come 1st serve’.
“Dimensi lukisan tangan yang melatari hampir di keseluruhan kawasan Hotel De Art I-City ternyata menggamit tumpuan pengunjung,” katanya.
Ibarat bermalam dalam dunia fantasi, Hotel De Art I-City bukan sahaja menjadi pilihan utama untuk destinasi penginapan malah turu menjadi pilihan mereka yang ingin mengabadikan kenangan menerusi lensa kamera peribadi.

Sebuah dewan seminar yang diberi suntikan seni juga disediakan di tingkat dua. Mainan warna di segenap ruang dewan ternyata memberi kesegaran bahkan menawarkan satu kelainan buat anda yang merancang untuk mengadakan sebarang acara di sini.


Mampu menampung sehingga 150 orang dalam satu masa, ruang seminar ini menyediakan keperluan yang lengkap dan selesa untuk sebarang acara mengikut permintaan.

Terletak bersebelahan dengan taman tema I-City Shah Alam, Hotel De Art I-City merupakan lokasi inapan terbaik buat mereka yang inginkan kelainan. Juga terletak tidak jauh dari beberapa lokasi pelancongan popular di Shah Alam.



Hotel De Art I-City dianggap berada di kedudukan yang cukup strategik. Antaranya Kompleks Sukan Shah Alam, Extreme Park, Sunway Lagoon Theme Park, Bukit Cahaya Taman Pertanian dan Wet World Shah Alam.


Hospital Shah Alam juga terletak cuma beberapa minit dari kawasan hotel.

Tidak ketinggalan lambakan kompleks membeli-belah yang tidak jauh dari kawasan hotel seperti gedung tekstilter besar Jakel, Kompleks Ole-Ole, SACC Mall, Plaza Alam Sentral, Plaza Shah Alam, Kompleks PKNS, Pusat Konvensyen IDCC, AEON Bukit Raja, AEON Shah Alam, dan Setia City Mall.